Sampel kerja kursus
1.0 PENGENALAN
Menurut
kamus dewan edisi keempat, cerpen bermaksud cerita pendek. Manakala Siti Hajar
Abdul Aziz (2009) mendifinisikan cerpen atau cerita pendek itu sebagai suatu
bentuk prosa naratif. Penggunaan istilah ‘cerita rakyat’ dan ‘fabel’ digunakan dahulu
sebelum adanya istilah ‘cerpen’ (ibid). Cerpen dan novel secara asasnya
mengandungi plot. Latar dan watak. Walaubagaimanapun, cerpen mempunyai satu
plot, satu latar dan watak yang terhad
serta jangka masa yang lebih padat berbanding novel. Kisah yang diceritakan
didalam cerpen biasanya lebih pendek mengenai dengan keadaan yang cuba
digambarkan secara singkat bagi tujuan penceritaan secara lisan. Cerpen
kemudiannya berubah dengan adanya kisah penceritaan realiti justeru banyak
elemen sastera diselitkan kedalam sesebuah karya cerpen itu. Cerpen kini
menjadi popular dalam kesusateraan Melayu kerana ia diterbitkan dalam akhbar
dan majalah yang lebih luas penyebarannya (ibid).
Selain
itu, cerpen sesuai digunakan sebagai bahan bacaan untuk pelajar dengan penggunaan
gaya bahasa yang penuh dengan siratan makna dan alunan rasa imiginatif.
Kebanyakan cerpen yang dihasilkan mempunyai pelbagai nilai dan pengajaran yang
dapat menarik minat pelajar serta dapat mendidik seseorang itu menjadi lebih
baik. Aspek bahasa dan kata-kata yang indah serta nada dan teknik yang cuba
ditonjolkan oleh penulis menambahkan lagi rasa nikmat kepada pembacanya.
Begitu
juga dengan gaya bahasa yang digunakan secara meluas di dalam sesebuah karya
cerpen itu memberi peluang kepada pelajar untuk mengembara dalam dunia
kesusasteraan Melayu dengan lebih mengasyikkan. Di samping itu, penggunaan gaya
bahasa yang pelbagai membuatkan karya cerpen lebih menarik. Hal ini secara
tidak langsung dapat melatih mereka menikmati penggunaan bahasa yang indah dan
bermakna.
Kepelbagaian
versi cerpen telah banyak diperkenalkan dipersada dunia kesusateraan Melayu itu
sendiri. Ramai penulis-penulis novel yang memberi pendapat dan pandangan mereka
melalui hasil karya yang dihasilkan dan menggunakan nada yang keras dan
menonjolkan emosi amarah. Menurut Sahlan Mohd Saman dalam Dewan Sastera (2011:
11) penekanan cerpen perlulah kepada intelektualisme, mengajak manusia menjadi
lebih berguna, sedar kepada imbangan kehidupan dunia dan akhirat.
Akhir
sekali cerpen atau cerita pendek merupakan frosa naratif yang mengandungi plot
dan jalan penceritaan yang singkat. Penggunaan bahasa yang indah dan pelbagai
membuatkan sesebuah karya cerpen tampak lebih menarik di mata pembaca.
Pandangan serta idea dapat diketengahkan melalui cerpen yang dihasilkan. Hal
demikian dapat mendidik pembaca untuk menjadi berfikiran luas serta merasai
keseimbangan hidup.
2.0 OBJEKTIF
KAJIAN
1. Menganalisis,
mengulas dan menghuraikan aspek-aspek berikut;
a.
Penggunaan gaya bahasa
b.
Kesantunan bahasa
c.
Sistem sapaan
2. Menghuraikan
kepentingan gaya bahasa, kesantunan bahasa dan sistem sapaan.
3. Menjelaskan
fenomena kesantunan berbahasa dalam kalangan generasi muda.
4. Menyatakan
faktor-faktor yang mempengaruhi kesantunan berbahasa dalam kalangan generasi
muda.
3.0 BIODATA
PENGARANG
Wan
Usman Wan Awang atau lebih dikenali sebagai Usman Awang merupakan seorang
Sasterawan Negara Malaysia. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung
Tanjung Lembu, Kuala Selidi, Kota Tinggi, Johor. Pendidikan awal diterima adalah
di sekolah Melayu di Kuala Selidi (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani
(1940). Beliau melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang
menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.
Usman
Awang pernah berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera
dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai
Penyelidik Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan
Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga
bersara pada bulan Julai 1985.
Beliau
juga merupakan penerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1983. Kecemerlangan
sumbangan beliau terhadap kesusasteraan Melayu diiktiraf melalui pelbagai
anugerah lain seperti Anugerah Pejuang Sastera (1976), S.E.A. Write Award
(1982), Ijazah kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya (1983), dan
Anugerah Penyair Johor (1995).
Nama pena yang biasa digunakan
beliau semasa menghasilkan karya-karyanya ialah seperti Tongkat Warrant,
Setiabudi, Manis, Adi Jaya, Amir, Atma, Jiwa, Pengarang Muda, Rose Murni, Zaim
dan U.A.
Disamping drama, puisi merupakan
pengucapan seni Usman Awang yang paling memberi kesan terhadap pembaca. Selain
itu, cerpen-cerpen yang dihasilkan juga mendapat tempat dihati mereka. Cerpen
merupakan medium yang digunakan beliau untuk menyampaikan ilmu dan pandangannya
terhadap isu semasa. Melalui karya-karya yang dihasilkan, Usman Awang berupaya
mengetengahkan persoalan-persoalan semasa dan ketajaman fikirannya serta
berjaya menghasilkan gaya garapan ayat yang segar sepanjang zaman.
Karya-karya yang dihasilkan beliau digunakan
sebagai rujukan dalam seni sastera Melayu kini. Dalam dunia penulisan beliau
telah menghasilkan lebih dari 200 puisi dan drama. Beliau mula membentuk
namanya dalam dunia sastera dengan menulis sajak. Antara sajak-sajaknya yang
popular adalah seperti ‘Pak Utih’, ‘Ke Makam Bonda’, ‘Nasib Buruh’, ‘Bunga
Kopi’, Gadis Di kuburan’ dan lain-lain. Walaupun dengan menggunakan bahasa yang
biasa dalam penulisan beliau bijak menjalinkan kata-kata itu sehingga
menghasilkan satu garapan yang indah serta berkesan tanpa mengubah maksud yang
ingin disampaikan kepada pembaca. Cerpen hasil karya beliau yang terkenal
antaranya ialah, ‘Untuk Malaya Merdeka’, ‘Harga Hidup’, ‘Turunnya Sebuah
Bendera’, ‘Budi’, ‘Mati Seorang Perempuan’, ‘Rimbaku Air Mataku’ dan banyak
lagi.
Kehadiran
Usman Awang ke dalam dunia sastera Melayu, memberi satu sinar bagi
memartabatkan lagi bahasa Melayu dalam rakyat di negara ini. Ketokohan beliau
sering diperkatakan. Drama hasil karya beliau yang popular ‘Muzika Uda dan
Dara’ tidak juga ketinggalan menjadi tatapan peminat beliau. Keteguhan beliau
dalam seni bahasa Melayu amat dikagumi dan karya-karyanya tidak lekang dek
zaman serta tidak pernah luntur dek usia.
4.0 SINOPSIS
CERPEN
“Harga Hidup” karya Usman Awang.
Cerpen
“Harga Hidup” karya Usman Awang yang mengisahkan tentang nilai sebuah kehidupan
dalam mengejar cita-cita besar seperti yang dikisahkan di dalam cerpen ini
sepasang suami isteri yang bercita-cita besar untuk mengumpulkan seberapa
banyak wang dan harta bagi menjamin kehidupan mereka. Apabila cita-cita dan
nafsu untuk menikmati hidup senang manghantui diri, tindakan di luar jangkaan
untuk bekerja lebih masa mengundang padah pada mereka berdua apabila putera
kesayangan yang baru dilahirkan pergi menghadap pencipta yang satu.
Begitulah
nasib yang menimpa Mah dan Tahir yang merupakan pasangan suami isteri yang
mengidamkan kesenangan hidup. Kedua-duanya gigih mengerah keringat bagi mencari
wang dengan mengambil upah menjahit baju dan Tahir bekerja lebih masa sebagai
seorang kerani di pejabat. Cita-cita pertama mereka ialah untuk memperoleh anak
dan cita-cita besar kemudiannya ialah untuk mengumpul harta sehinggakan Mah
tetap menjahit sehingga larut malam sedangkan waktu itu dia sedang sarat
mengandung. Pada awal kehamilannya dia sering muntah-muntah dan itu tidak
menjadi penghalang baginya untuk terus menjahit. Malah, dia tidak menghiraukan
kesihatannya walaupun telah disuruh oleh Mak Piah berjumpa doktor.
Apabila
tiba saat melahirkan, Mah menghadapi masalah dan dia terus dibawa ke hospital.
Anak yang dilahirkan tidak begitu berat dengan beratnya hanya 2.5Kg. Ini adalah
kerana ketika hamil, dia tidak memberi sepenuh perhatian terhadap pemakanan
seimbang atas dasar bekerja terlalu kuat demi menjamin mata pencariannya.
Setelah selamat melahirkan, dia dan anak dibawa pulang setelah seminggu di
hospital. Kerana ingin mengecapi kesenangan dia terus mengerjakan kerja-kerja
menjahitnya walaupun masih baru beberapa hari bergelar sebagai ibu. Si suami
juga turut meneruskan usaha dengan menghadapi kerja sambilan mengajar bahasa di
luar.
Seterusnya,
apakan daya saat yang mengubah hidup suami isteri itu pun tiba. Anak yang baru
dilahirkan itu menghidapi demam kuat selama beberapa hari. Tanggapan mereka
hanyalah demam biasa yang akhirnya meragut nyawa putera mereka. Kerana bekerja
terlalu kuat mereka lalai dan tidak menyedari bahawa tekak anaknya bengkak dan
akhirnya manutup saluran pernafasan. Kepermegian putera sulung menghadap Illahi
memberi impak yang besar tehadap hidup mereka suami isteri. Walaubagaimanapun,
kematian anaknya memberi seribu hikmah kepada hidup Tahir dan isteri apabila
pertemuan antara dia dan penggali kubur mengubah prinsip hidupnya.
Pada
hari pengebumian Tahir pergi menemui penggali kubur yang tua lanjut usia itu.
Dia menginginkan mayat anaknya itu dikebumikan ditempat yang baik dengan itu
dia menghulurkan duit lima ringgit kepada orang tua itu namun ditolaknya. Orang
tua itu memberitahu Tahir bahawa dia hanya akan bekerja apabila dia mahu
bekerja sahaja. Tahir jadi hairan melihat orang tua yang difikirnya sangat
memerlukan wang bagi menyara kehidupan menolak wang sebanyak itu. Lalu, dia pun
menangis. Kesedihan kehilangan anak serta ditambah pula dengan penggali kubur
yang enggan menggali kubur agak merunsingkan dia. Pada Tahir wang adalah
segala-galanya. Setelah melihatkan Tahir tunduk dan menangis, orang tua itu pun
memulakan galiannya setelah dia yakin bahawa anak muda itu mengerti tentang
dirinya.
Setelah
dia pulang ke rumah dan menemui seorang tua yang turut mengikuti
menyembahyangkan mayat anaknya itu, dia pun menceritakan perihal yang berlaku
di perkuburan. Orang tua itu memberitahu Tahir mengenai penggali kubur yang
dikiranya aneh itu. Penggali kubur itu tidak menerima wang yang banyak dari
hasil pekerjaannya dan lebih menghargai kehidupan yang bebas dari pengaruh
wang. Pada dasarnya dia perlukan wang untuk menyara hidup tetapi dia tidak mahu
menjadikan dirinya hamba kepada wang. Wang tidak pernah memberi kebebasan
kepada manusia sebaliknya menjadikan manusia sesat dan susah. Akhirnya, pada
petang pengebumian anaknya itu, Tahir melihat erti kehidupan lebih bermakna
dari sikap hidup orang tua itu. Dia sedar bahawa dirinya kecil dan lebih
menghargai makna sebuah kehidupan.
5.0 ANALISIS
DAN ULASAN GAYA BAHASA YANG DIGUNAKAN DALAM CERPEN
Gaya
bahasa merupakan komponen sastera yang sangat penting dan digunakan secara
meluas dalam setiap karya penulisan seperti cerpen, sajak mahupun novel. Gaya
bahasa merujuk kepada pemilihan kata, frasa, dan ayat yang digunakan oleh
pengarang bagi menyampaikan ceritanya (Siti Hajar Abdul Aziz, 2009). Penggunaan
gaya bahasa dengan berkesan dapat memberi keunikan dalam karya penulisan serta
memberi impak yang lebih berkesan kepada pembaca.
Pertama
sekali gaya bahasa yang terdapat dalam cerpen ‘Harga Hidup’ karya Usman Awang
ialah hiperbola. Gaya bahasa hiperbola digunakan dalam penulisan ini bagi
menyatakan sesuatu perkara dengan cara yang berlebih-lebihan. Sebagai contoh,
penggunaan hiperbola dalam cerpen ini ialah “Kolam air dimatanya mengalir
lagi”. Hiperbola boleh dihasilkan dengan pemilihan kata atau ayat untuk
menunjukkan sesuatu keadaan dengan melebih-lebihkan sesuatu sifat. Secara
logikna mata manusia tidak mempunyai kolam air, tetapi pemilihan kata dan idea
pengarang dalam cerpen ini dapat menggambarkan situasi dimana watak tersebut
kesedihan diatas kematian anaknya. Selain itu hiperbola “cita-cita besar mereka
tak pernah padam, malah tambah menyala” menunjukkan betapa cita-cita yang
dimaksudkan itu menjadi tunjang kepada semangat untuk terus mencari rezeki.
Penggunaan perkataan ‘padam’ dan ‘menyala’ menunjukkan cita-cita itu
digambarkan seperti api yang tetap menyala. Dalam konteks ini pengarang
menerangkan situasi itu secara berlebih-lebihan.
Selain
itu, gaya bahasa personafikasi juga turut digunakan dalam cerpen ini. Ia
bukanlah apa yang hanya dituliskan oleh pengarang tetapi bagaimana pengarang
mempersembahkan ceritanya. Personafikasi bukan sahaja kerap digunakan dalam
puisi malah seringkali ditonjolkan dalam karya penulisan cerpen dan novel.
Personafikasi merupakan gaya bahasa yang menggunakan unsur kemanusiaan atau
sifat manusia terhadap unsur bukan manusia dan tidak bernyawa. Menurut Mawar
Safei dalam Dewan Siswa (2011:63) tujuan personafikasi ini adalah untuk
memberikan kesan keindahan dan menyampaikan makna yang tidak secara langsung
disuarakan oleh watak. Selain itu, ia juga mampu meninggalkan kesan yang
mendalam kepada pembaca. Dalam cerpen ini, personafikasi yang digunakan adalah
seperti “…malam mengengsot terus mencapai dinihari”. Perkataan malam merujuk
kepada suasana dan ia sememangnya bukan suatu yang bernyawa jadi ia tidak boleh
mengengsot. Penggunaan personafikasi bukan sahaja memberi imej yang jelas
tentang keadaan sebenar yang ingin dissampaikan oleh pengarang. Sifat manusia
seperti mengengsot mudah dibayangkan oleh para pembaca. Keadaan sebenar yang cuba
pengarang sampaikan ialah keadaan malam berubah kepada siang. Dengan
menggunakan sistem gaya bahasa, penulisan tampak lebih kreatif dan unik. Antara
personafikasi lain yang terdapat dalam cerpen ini ialah “ombak memukul dada”.
Personafikasi ini digunakan untuk menunjukkan betapa hancurnya hati dan harapan
suami dan isteri itu setelah kehilangan anak sulung mereka. Ombak bukan manusia
tetapi pengarang memberi sifat perlakuan “memukul” kepadanya untuk memberi
gambaran yang lebih jelas tentang situasi yang sebenar kepada pembaca.
Selain
daripada itu, penggunaan gaya bahasa sinkof juga turut digunakan dalam cerpen
ini. Menurut Serunai Faqir melalui laman sesawang (2010/http://www.kapasitor.net/community/post/2864?s=help)
sinkof bermaksud pemendekan sesuatu kata dengan mengugurkan satu atau lebih
huruf atau suku kata dari tengah kata-kata itu. Ahli bahasa dan penulis lama
mengatakan bahawa sinkof ini hanya dibenarkan dalam dialog sahaja, dengan
penggunaan yang paling minima (ibid). Contohnya terdapat ketika perbualan
antara Mah dan tahir, “Kalau tak
kena bayar”, dan “Jauh. Macam mana nak
pergi…”, pengarang menggunakan sinkof bertujuan untuk menggambarkan dialog
antara watak tampak realistik dan tidak terlalu formal. Penggunaan sinkof juga
dapat menghidupkan penceritaan dan ayat digubah oleh pengarang dapat mendekatkan
lagi pembaca dengan watak di dalam cerpen tersebut.
Penggunaan
simile juga dapat dikesan dalam cerpen ini apabila pengarang cuba membuat
persamaan tingkah laku karakter Tahir dengan anak kecil. Sebagai contoh “Ia
benar-benar menangis seperti anak kecil.” ‘Ia’ disini merujuk kepada Tahir dan
penggunaan perkataan ‘seperti’ membenarkan persamaan yang cuba disampaikan oleh
pengarang dapat ditonjolkan. Perlakuan Tahir menangis disamakan dengan
perlakuan anak kecil yang menangis apabila tidak dipenuhi permintaannya. Begitu
juga dengan “Ia seperti anak kecil
mengikut berjalan dibelakang bapanya.”, simile digunakan oleh pengarang untuk
memberi contoh dan menerangkan maksud yang cuba disampaikan.
Seterusnya
penggunaan diksi iaitu susunan kata-kata yang indah sehingga membawa pengertian
yang mendalam dan tepat penggunaannya. Sebagai contoh, “Sebaliknya wang
mengikat kehidupan manusia, mengongkongnya dan menundukkan manusia itu.”
Ungkapan yang digunakan untuk mengungkapkan idea dapat dilihat dengan jelas
apabila pengarang menggunakan perkataan “mengikat”, “mengongkong” dan
“menundukkan” dengan berkesan untuk memberi makna yang jelas mengenai wang.
Penggunaan
peribahasa juga turut digunakan oleh pengarang dalam cerpen ini. Menurut Kamus
Dewan edisi keempat, peribahasa membawa maksud ayat atau kelompok kata yang
mempunyai susunan yang tetap dalam mengandungi pengertian yang tertentu. Ab.
Rahman Ab. Rashid et.al (1997) ada mengatakan peribahasa tergolong dalam bahasa
kiasan. Peribahasa juga dapat dijelaskan sebagai ungkapan-ungkapan yang
mempunyai bentuk yang ringkas dan padat serta bunyi yang sedap di dengar.
Peribahasa juga bukan sahaja untuk penggunaan unsur bahasa yang puitis, tetapi
pengarang menggunakannya untuk menyampaikan pengajaran yang baik dan positif.
Usman
Awang juga menggunakan peribahasa dalam cerpennya untuk menambahkan lagi rasa
keunikan dalam menyampaikan makna yang tersirat. Sebagai contoh, “bagai
menatang minyak yang penuh” merupakan peribahasa yang pengarang gunakan dalam
cerpen ini yang membawa maksud menjaga dengan penuh kasih sayang dan memberi
perhatian yang penuh terhadap seseorang. Dalam cerpen ini, maksud yang
pengarang cuba sampaikan ialah untuk menggambarkan betapa mereka menjaga orang
yang mengandung anak sulung dengan bersungguh-sungguh. Selain itu pengarang cuba
mengungkapkan makna yang tersirat disebalik peribahasa yang digunakan seperti
“Tetapi untuk apa sudah tehantuk baharu terngadah, tali putus dapat disambung,
kain robek boleh dijahit, nyawa tercabut ke mana cari?”. Pengarang secara tidak
langsung memberi nasihat serta
peribahasanya berbaur sindiran. Ia juga memberi maksud jangan dikesal dengan
perkara yang telah berlaku, suratan takdir tiada apa yang boleh menghalangnya.
6.0 ANALISIS
DAN ULASAN KESANTUNAN BAHASA DALAM CERPEN
Menurut
Siti Hajar Abdul Aziz (2009), kesantunan bahasa merujuk kepada cara penggunaan
kata dan ujaran secara sopan dan beradab. Kesantunan berbahasa merupakan cara
terbaik untuk memperlihatkan budi bahasa seseorang itu, dan tingkah laku
bertatasusila. Manakala merujuk kepada Amat Juhari Moain dalam buku Ab. Rahman
Ab. Rashid et.al (1997), kesantunan bahasa bererti kesopanan dan kehalusan
dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau
tulisan kepada orang yang dihormati, orang yang setaraf dengan kita atau yang
lebih rendah kedudukannya daripada kita. Penggunanan bahasa yang sopan serta
bersantun dalam sesebuah lembar penulisan dapat memberi kesan yang mendalam
kepada pembaca.
Pertama sekali, di dalam cerpen ini,
terdapat beberapa kesantunan bahasa yang dapat dilihat daripada watak-watak
yang cuba ditonjolkan oleh pengarang. Kesantunan bahasa bukan sahaja berkaitan
dengan perlakuan linguistik, malahan perlakuan bukan linguistik. Perlakuan
linguistik merujuk kepada penggunaan dan pemilihan kata, frasa, ayat dan
ungkapan dalam perbualan (ibid). Dalam cerpen ini, perlakuan dari segi
linguistik atau verbal juga digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan
kesantunan berbahasa oleh watak-watak yang ditonjolkan. Sebagai contoh, “Jangan
menyusah-nyusahkan hati sangat, Mah. Sudah kehendak Tuhan.”, pengarang cuba
menunjukkan sifat diri seorang perempuan setengah umur itu sebagai insan yang
simpati terhadap nasib orang yang sedang dilanda musibah. Dari bait-bait kata
tersebut, dapat dilihat bahawa perempuan itu bercakap dengan sopan dan
menggunakan nada yang rendah supaya tidak merunsingkan lagi Mah yang baru
sahaja kehilangan anaknya itu.
Seterusnya dari segi perlakuan bukan
linguistik ataupun bukan verbal juga banyak digunakan dalam hasil-hasil
penulisan sastera Melayu. Perlakuan bukan linguistik ada hubungan dengan mimik muka,
gaya dan gerak anggota badan semasa perbualan (ibid). Contoh yang boleh di
ambil dari cerpen ini ialah seperti Mah mendongakkan kepalanya kepada perempuan
setengah umur yang telah memberi nasihat dan mententeramkan dia dan memandang
jenazah anaknya lalu dia menangis. Perlakuan Mah itu menunjukkan bahawa dia
faham dan mendengar apa yang dikatakan oleh perempuan setengah umur itu
walaupun tidak mengeluarkan kata-kata. Setelah itu, Mah memandang kepada
jenazah anaknya sambil menangis, memberi maksud, dia kesal atas kelalaiannya
kerana tidak mengambil berat sepenuhnya terhadap arwah anaknya dahulu. Perlakuan
bukan verbal juga dapat dilihat apabila Tahir tidak mengangkat mukanya dari
kertas-kertas kerjanya apabila menjawab kata-kata isterinya. Di sini
menunjukkan dia tekun menghabiskan kerja-kerjanya walaupun dia masih bercakap
dengan isterinya.
Contoh
seterusnya ialah, Tahir mengeluarkan duit untuk diberikan kepada penggali kubur
itu. Perlakuannya ini menunjukkan bahawa dia menyangkakan orang tua itu harus
dibayar dahulu sebelum memulakan kerjanya. Perlakuan bukan verbal yang
dilakukan oleh Tahir itu dapat ditafsir oleh orang tua itu apabila dia berkata
“Tidak. Jangan fikir saya minta wang dari encik.” Jelas disini pengarang cuba
menggambarkan bentuk komunikasi yang disampaikan mestilah bersesuaian dengan
situasinya. Perlakuan bukan linguistik juga dapat dilihat ketika perbualan antara
Tahir dan orang tua yang turut menyembahyangkan jenazah anaknya itu apabila
Tahir menganggukkan kepalanya. Anggukan kepala yang dilakukan oleh Tahir
menunjukkan perlakuan bukan linguistik yang membawa maksud dia faham atas apa
yang cuba disampaikan oleh orang tua itu.
Dalam
menghuraikan konsep kesantunan bahasa, pelbagai aspek yang boleh dilihat dan
penggunaan bahasa yang kasar dan berbaur sindiran ataupun hinaan akan
menyebabkan kesantunan berbahasa hilang sekiranya bahasa kurang sopan digunakan.
Dalam cerpen ini, penghinaan secara berterus-terang tidak dapat dilihat secara
terang-terangan, ini kerana penggunaan bahasa yang memabataskan keadaan itu
berlaku. Sebagai contoh Tahir mendapat jawapan balas daripada seorang penggali
kubur dengan nada yang mengejek dan menghina. Ketika Tahir menyatakan hasratnya
untuk mendapatkan tempat yang baik bagi mengebumikan mayat anaknya, dan
penggali kubur itu pun menjawab “carilah sendiri.”, dan apabila Tahir cuba
menerangkan bahawa anaknya akan ditanam petang itu, penggali kubur itu
menjawab, “Ya, tanamlah.” Dari segi bahasa yang digunakan dalam jawapan yang
diberikan penggali kubur kepada tahir, ia berbaur hinaan dan mengejek serta
acuh tidak acuh sahaja. Hal ini dapat menghilangkan kesantunan bahasa sekiranya
penggunaan bahasa itu terus digunakan dalam penulisan.
Pemilihan kata penting juga dalam memelihara
kesantunan berbahasa kerana setiap kata mempunyai nilai rasanya yang
tersendiri, sama ada nilai kehalusan, kekasaran atau kekesatannya (ibid). Biasanya
ayat-ayat atau frasa yang pendek serta dilafazkan dengan nada yang keras dan
membawa makna yang kasar, manakala ayat yang panjang dtambah pula dengan nada
yang lembut akan menimbulkan sifat yang halus. Contoh yang terdapat dalam
cerpen ini ialah seperti, “Baliklah encik. Tahu beres saja,” yang diucapkan
oleh penggali kubur kepada Tahir. Ayat ini pendek tetapi bersifat halus kerana pemilihan
kata yang sesuai dengan keadaan. Penggunaan perkataan ‘encik’ menunjukkan
kesantunan berbahasa sesuai dengan status pendengar.
7.0 ANALISIS
DAN ULASAN SISTEM SAPAAN DALAM CERPEN
Sistem
sapaan merupakan cabang daripada kesantunan bahasa. Menurut Ab. Rahman Ab.
Rashid et.al (1997) masyarakat Melayu menggunakan kata nama diri dan bahasa
sapaan yang tertentu apabila ahli-ahlinya berhubung antara satu sama lain.
Bahasa sapaan mestilah sesuai dengan situasi dan keadaan. Pemilihan kata-kata
yang sesuai juga dapat mewujudkan suasana harmoni di antara kedua-dua belah
pihak. Sistem sapaan ini sangat penting bagi mewujudkan komunikasi yang betul
dan beradap dengan berkesan.
Di
dalam cerpen ini terdapat beberapa laras bahasa sapaan yang berbeza. Sebagai
contoh, pengarang menggunakan kata ganti nama bagi orang pertama atau disebut
dieksis utama yang menggunakan kata nama
panggilan pertama ‘saya’. Penggunaan kata nama panggilan pertama dalam dialog
Tahir dengan penggali kubur “Saya mahu tempat yang baik.” Kata nama penggilan
‘saya’ dalam dialog tersebut menunjukkan kesopanan dan hormat terhadap orang
yang lebih tua. Penggunaan kata nama panggilan yang bersesuaian dengan status
mempunyai nilai kesantunan yang tinggi. Selain itu, sistem sapaan yang
digunakan oleh pengarang dalam karya penulisannya menunjukkan latar masyarakat
yang berbudi bahasa.
Di samping itu, pengarang juga
memilih kata nama yang sesuai bagi merujuk kepada seseorang dan menggambarkan
sifat sopan dan hormat si penutur. Kata ganti diri dan sapaan di luar keluarga
turut digunakan dalam cerpen ini. Penggunaan kata sapaan ini biasa digunakan
dalam masyarakat Melayu terutamanya di kampung, kaya dengan adat dan
bersopan-santun. Bahasa sapaan yang digunakan terhadap orang yang lebih tua
darpada si penyapa lazimnya digunakan tok
(panggilan sapaan) + nama. Sebagai contoh dalam cerpen ini, Mah menyebut
nama ‘Mak Piah’ yang merujuk kepada bidan kampungnya itu. Ini secara tidak
langsung menggambarkan keperibadian Mah yang menghormati orang yang lebih tua
darinya dengan menggunakan kata nama ‘Mak’ sebelum nama ‘Piah’ tersebut. Bahasa
sapaan di luar keluarga ini selalu digunakan berdasarkan faktor umur, pangkat
atau status seseorang dalam masyarakat (Ab. Rahman Ab, Rashid et.al, 1997).
Selain
itu, dialog Tahir dengan penggali kubur juga menunjukkan penggunaan kata nama
panggilan ‘Wak’ yang bersamaan dengan ‘pak cik’. Panggilan tersebut dapat memperlihatkan
rasa hormat serta merendahkan diri terhadap orang yang lebih tua. Begitu juga
dengan penggali kubur yang memanggil Tahir sebagai ‘encik’ yang melambangkan
rasa hormat terhadap tahir yang mungkin berpangkat tinggi baginya.
Selain itu, pengarang juga menggunakan
kata ganti nama ketiga, ‘ia’ di dalam cerpen ini. Penggunaan kata ganti nama
‘ia’ yang betul boleh digunakan kerana ia merupakan kata ganti nama orang
ketiga. Menurut M. Salehudin Aman dalam Dewan Siswa (2011) kata ganti ‘ia’
boleh bertugas sebagai subjek tetapi tidak boleh digunakan sebagai objek kepada
kata sendi, atau kata kerja transitif. 'Ia’ biasa digunakan untuk unsur
abstrak, haiwan dan benda tetapi tidak digalakkan, sebaik-baiknya diulangai
kata nama tersebut (2006/http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=tidak+sebaik&d=10).
Dalam cerpen ini, pengarang menggunakan kata ganti diri “ia” untuk merujuk
kepada manusia. Sebagai contoh, “Ia bukan bidan turunan kerana kebetulan ibunya
dahulu bidan.”, merupakan ayat yang pengarang tulis menggunakan kata ganti diri
“ia” yang merujuk kepada manusia iaitu bidan tersebut. Dalam konteks penulisan
sastera, pengarang dikatakan mempunyai lesen puitikanya. Menurut A. Halim Ali
melalui laman sesawang (2011/http://tcipta.dbp.my/?p=316), pengarang bebas menggunakan
rukun tatabahasa dalam menyampaikan idea atau pemikiran dalam bentuk bahasa
yang estetik. Justeru, penggunaan kata nama ketiga “ia” dalam cerpen ini boleh
digunakan untuk merujuk kepada manusia seperti mana yang telah digunakan oleh
pengarang.
8.0 KEPENTINGAN
GAYA BAHASA, KESANTUNAN BAHASA DAN SISTEM SAPAAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA
Perkembangan
teknologi yang pesat marcapada ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran
serta struktur berbahasa masyarakat khususnya masayarakat Melayu di Malaysia.
Pengaruh luar juga menjadi punca keruntuhan bahasa Melayu dalam kalangan
masyarakat di samping merosakkan akhlak mereka. Slogan ‘Bahasa jiwa bangsa’
kurang berkesan kerana gaya pertuturan serta struktur bahasa telah banyak di
pengaruhi dengan bahasa asing dan secara tidak langsung menghancurkan
kesantunan berbahasa masyarakat.
Bahasa
memainkan peranan penting bagi menentukan identiti sesuatu bangsa, Menurut
Za’ba dalam buku Ab. Rahman Ab. Rashid et.al (1997), bahasa Melayu merupakan
ungkapan bahasa yang istimewa dan mampu menyesuaikan diri dengan situasi yang
wujud dalam masyarakat. Penggunaan gaya bahasa yang indah terutamanya dalam
lembar penulisan kreatif dapat menarik perhatian pembaca serta mencerminkan
keunikan bahasa Melayu tersebut. Gaya bahasa bukan setakat mengindahkan lagi
karya tetapi ia juga sedap di dengar. Dalam kehidupan bermasyarakat, gaya
bahasa dalam konteks bahasa Melayu dapat memupuk keharmonian serta
kesejahteraan hidup. Hal ini demikian kerana kepelbagaian gaya bahasa yang
terdapat dalam sistem bahasa Melayu dapat memberi peluang kepada masyarakat
untuk menyampaikan hajat atau maksud dengan cara yang lebih sopan tanpa
mengguriskan hati mana-mana pihak. Pergaduhan dan perpecahan selalunya berlaku
akibat penggunaan bahasa yang kasar serta tidak bersopan. Masyarakat Melayu
khususnya generasi muda tidak lagi mengamalkan berbudi bahasa ketika bercakap
dengan orang lain.
Selain
itu, masyarakat Malaysia pada suatu ketika dahulu kaya dengan budi bahasa
kerana mengamalkan bahasa yang baik dan bersantun. Seperti slogan ‘Budi bahasa
budaya kita’ bahasa melambangkan budaya sesuatu kaum atau komuniti sesebuah
negara. Kesantunan berbahasa sangat penting, ini kerana dengan pemilihan kata
atau ayat yang bersopan dapat mencerminkan diri yang baik serta ini menggambarkan
masyarakat yang mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain
khususnya kepada orang yang jauh lebih tua. Selain itu, kesantunan berbahasa
dalam masyarakat membolehkan semua pihak berasa selesa tanpa berasa tersinggung
dan terpinggir serta tidak dianggap biadab.
Dalam
dunia lisan, masyarakat Melayu khususnya banyak menggunakan bahasa sapaan dan
kata ganti diri. Penggunaan nama panggilan atau kata ganti diri dapat
mencerminkan kedudukan seseorang itu dalam susunan kekeluargaan, dan kedudukannya
dalam masyarakat. Dalam pergaulan dengan orang berdarjat tinggi, bahasa sapaan
memainkan peranan penting supaya tidak berasa tersinggung. Penggunaan bahasa
sapaan dengan betul juga jelas menunjukkan bahawa sesuatu masyarakat itu adalah
bersopan santun dan berbudi bahasa.
Tuntasnya,
konteks bahasa Melayu yang merangkumi aspek gaya bahasa, kesantunan berbahasa
dan sistem sapaan mempunyai kepentingannya tersendiri dalam karya penulisan
serta kehidupan bermasyarakat. Penggunaan gaya bahasa yang meluas dapat memberi
peluang untuk menyampaikan mesej dengan lebih bersopan dan mengelak daripada
pertelingkahan. Kesantunan berbahasa sangat penting untuk memperlihat budi
bahasa serta mengelakkan sesetengah pihak berasa tersinggung. Manakala sistem
sapaan memainkan peranan penting dalam konteks pergaulan dengan penggunaan kata
ganti diri yang betul dan mengelak daripada meninggung perasaan orang lain atas
kesalahan penggunaan nama panggilan.
9.0 FENOMENA
KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KALANGAN GENERASI MUDA
Teknologi
yang berkembang dengan penciptaan pelbagai jenis alat-alat elektronik dan
komunikasi memudahkan penyampaian maklumat dilakukan dengan berkesan. Namun
begitu cabaran yang dunia sedang hadapi ialah sebahagian besar teknologi
mempengaruhi pemikiran serta struktur berbahasa masyarakat terutamanya generasi
muda. Akibat daripada itu, kesantunan berbahasa dalam kalangan remaja kian
terhakis.
Remaja
marcapada ini banyak menggunakan perkataan-perkataan yang kurang baik dan
istilah-istilah baru yang diserap dari budaya asing. Sedar atau tidak, nilai
dan budaya asing telah mengubah serta merosakkan bahasa Melayu yang dahulunya
terkenal dengan bahasa yang penuh sopan dan santun. Perubahan ini berlangsung
setelah kedatangan arus teknologi yang secara tidak langsung memusnahkan sistem
berbahasa dalam masyarakat di Malaysia.
Generasi
sekarang lebih senang dengan istilah yang mereka cipta seperti yang digunakan
dalam khidmat pesanan ringkas (SMS). Tindakan ini bukan menyenangkan sahaja
tetapi membawa keburukan dimana remaja khususnya pelajar sekolah tidak dapat
menguasai subjek bahasa Melayu dengan baik. Penggunaan istilah dan ayat-ayat
yang merapu digunakan dalam penulisan karangan dan ini menunjukkan bahasa
Melayu itu telah dicemari dengan pelbagai jenis bahasa asing yang mereka
gunakan.
Sikap
sambil lewa seperti tidak meneliti bahasa yang digunakan menyebabkan berlakunya
konflik serta pergaduhan. Mungkin pada mereka penggunaan bahasa sedemikian rupa
adalah biasa kerana mereka menggunakannya dengan rakan sebaya dalam hidup
seharian. Apabila bercakap dengan orang yang lebih tua, mereka secara tidak
langsung menggunakan bahasa yang kurang sopan dan ini menunjukkan kesantunan
berbahasa telah hilang. Keterbiasaan yang telah berlaku menyebabkan mereka tidak
tahu bahasa yang sesuai digunakan apabila berhadapan dengan orang yang lebih
tua.
Bahasa
melambangkan keperibadian seseorang itu. Bahasa bukan hanya digunakan sebagai
alat menyampaikan maklumat dan meluahkan perasaan, malah menggambarkan identiti
diri dan bangsa. Dalam pada masa yang sama bahasa yang digunakan seseorang itu
menunjukkan tahap kematangan, latar belakang dan taraf pendidikan yang
diterima. Faktor yang memungkinkan remaja kehilangan kesantunan bahasa ialah
didikan keluarga dan persekitaran. Perkara ini tidak boleh disandarkan hanya
kepada remaja, tetapi keluarga juga menyumbang kepada perkara ini untuk
berlaku. Di rumah misalnya penggunaan bahasa antara ibu dan bapa kasar dan suka
mencarut apabila berkelahi. Kebanyakan keluarga tidak lagi mementingkan
penggunaan bahasa yang sopan dan lebih senang untuk berkasar dalam berbahasa.
Perlakuan sedemikiam mungkin membuatkan mereka lebih lega tetapi akibatnya
anak-anak menjadikan itu sebagai ikutan sehingga mereka dewasa.
Selain
itu, rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam menjerumuskan remaja
dalam masalah ini. Seringkali generasi muda menggunakan kata-kata kesat dalam
perbualan mereka. Sebagai contoh, penggunaan ayat seperti, ‘haram jadah’ sering diungkapkan oleh ramai remaja marcapada ini
bagi menjelaskan rasa tidak puas hati atau berada dalam keadaan marah. Begitu
juga dengan pennggunaan perkataan ‘sial’
bagi tujuan yang sama. Perkataan-perkatan tersebut dan pelbagai lagi perkataan
kesat yang lain adalah tidak manis untuk didengar dan dipertontonkan kepada orang
lain. Hal ini secara tidak langsung menggambarkan identiti yang buruk walaupun ia hanya digunakan semasa pergaulan
dengan rakan.
Menurut
Zuraidah Mohd. Sulaiman dalam majalah Pelita Bahasa (2011:4), penggunaan kata
ganti nama diri yang sopan dan lebih manis, seperti ‘awak’, ‘anda’, ‘saudara’,
‘encik’ dan ‘tuan’, dengan sewenang-wenangnya digantikan oleh panggilan ringkas
yang diterima pakai oleh golongan remaja, seperti ‘lu’, ‘gua’, ‘bro’ dan ‘beb’.
Tingkah laku mereka yang menggunakan perkataan asing secara membabi buta
menidakkan kemampuan dan keupayaan bahasa ibunda dalam menentukan tingginya
martabat bangsa. Mereka merasakan perkataan-perkatan tersebut mencerminkan
identiti mereka sebagai orang muda yang berjiwa moden.
Konlusinya,
fenomena yang melanda kesantunan bahasa dalam kalangan generasi muda berlaku
akibat pengaruh budaya asing serta latar belakang yang menjadikan mereka
begitu. Malahan rakan sebaya dan persekitaran juga menyebabkan perkara ini
terus berleluasa. Begitu juga dengan arus pemodenan mencorakkan penggunaan
istilah-istilah baru bagi remaja yang merasakan ia dapat menggambarkan identiti
mereka. Bagi menjamin kesantunan bahasa dalam kalangan remaja banyak perkara
perlu di ambil kira dan semua pihak harus bekerjasama dalam manangani masalah
ini. Setiap anggota masyarakat perlu tahu tanggungjawab masing-masing untuk
terus memupuk penggunaan bahasa yang sopan dan merialisasikan slogan ‘indah
bangsa kerana bahasanya’.
10.0 RUMUSAN
Secara
kesimpulannya, cerpen mempunyai ciri iaitu strukur dalaman termasuklah, gaya
bahasa, kesantunan bahasa dan sistem sapaan. Penggunaan gaya bahasa yang
pelbagai menambahkan lagi keunikan jalan cerita yang cuba ditonjolkan oleh
pengarang. Pemilihan bahasa dan kata-kata dalam cerpen dapat mewujudkan satu
makna yang sangat indah dan bermakna. Penggunaan bahasa sapaan yang tepat
dengan situasi dapat mewujudkan komunikasi yang betul dan beradap dengan
berkesan. Kesemua elemen diselitkan dalam karya penulisan cerpen agar menjadi
katalis yang mampu membina semangat bagi mencari landasan kukuh untuk jati diri
bangsa. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pembaca untuk
terus membaiki penggunaan bahasa Melayu dalam hasil penulisan mereka. Kesemua
aspek tersebut memainkan peranan penting bagi terhadap penggunaan bahasa Melayu
dalam kalangan masyarakat khususnya remaja.
REFLEKSI
Saya Muhamed Jabar Ainal Yakkin B.
Yusuf bersyukur kerana telah berjaya menyiapkan kerja kursus Bahasa Melayu
Komunikatif I ini dengan jayanya. Semasa menjalankan tugasan ini, saya telah
membuat pembacaan dan rujukan ke atas bahasa dalam konteks bahasa Melayu. Aspek
yang perlu di analisis adalah dari segi penggunaan gaya bahasa, kesantunan
bahasa, sistem sapaan, dan kepentingan ketiga-tiga aspek tersebut. Selain itu,
saya juga telah membuat beberapa pembacaan dan mengumpul bahan sumber yang
berkaitan dengan aspek-aspek berikut. Begitu juga dengan pembacaan mengenai
fenomena kesantunan berbahasa dalam kalangan generasi muda sekarang.
Ada pelbagai jenis gaya bahasa yang
digunakan dalam penghasilan karya-karya penulisan seperti puisi, cerpen dan novel.
Penggunaan gaya bahasa dalam sesebuah karya menjadikannya unik dan memberi
kesan terhadap pembacanya. Selain itu, kesantunan bahasa yang cuba ditonjolkan
oleh pengarang menjadikan karya lebih cantik dan molek untuk dibaca. Mutakhir
ini, saya dapat merasakan bahawa kesantunan bahasa kurang dipraktikkan oleh
sebahagian besar pelajar sekolah mahupun kolej. Keadaan ini berlaku sedikit
sebanyak akibat daripada pengaruh luar seperti penggunaan bahasa rojak dan
bahasa-bahasa asing yang kurang sopan. Pelajar-pelajar kini sudah terbiasa
dengan bahasa yang kurang sopan dan kasar serta menyebabkan kesantunan
berbahasa semakin meluntur.
Walaupun
begitu, kesedaran yang tinggi menyebabkan pelajar-pelajar sekarang menggunakan
bahasa yang baik dan bersopan. Hal ini demikian kerana adanya medium-medium
seperti bahan bacaan seperti majalah-majalah bahasa serta kempen ‘Bahasa Jiwa
Bangsa’ giat dijalankan justeru menyedarkan mereka. Guru-guru dan ibu bapa juga
memainkan peranan dalam mempraktikkan penggunaan bahasa yang sopan serta tidak
menggunakan kekasaran dalam berbahasa. Penguasaan bahasa Melayu dengan baik
dapat menjadikan sesorang itu membentuk identiti diri yang beradab sopan serta
dipandang tinggi.
Pada
mula saya kurang memahami soalan tugasan ini yang memerlukan saya untuk
bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan mengenai bagaimana untuk membuat satu
analisis yang baik. Setelah beberapa kali membuat perbincangan bersama rakan-rakan
dan pensyarah, barulah saya dapat memahami kehendak soalan kerja kursus ini.
Melalui penerangan yang diberi saya dapat membina keyakinan diri untuk merangka
proses untuk melaksanakan tugasan ini.
Sepanjang
menyiapkan tugasan ini, saya telah banyak mempelajari tentang gaya bahasa dalam
konteks bahasa Melayu. Saya merasakan penguasaan terhadap bahasa Melayu semakin
bagus dan ditambah pula dengan kesantunan berbahasa yang telah saya pelajari
sepanjang menyiapkan tugasan ini membuatkan saya lebih yakin untuk
berkomunikasi dengan khalayak. Lebih-lebih lagi sebagai seorang guru saya
berasa gembira kerana penguasan bahasa yang bagus dan ini memudahkan lagi
pengajaran di dalam kelas bersama murid-murid.
Tugasan
kerja kursus ini mengajar saya untuk lebih berdikari dalam mencari bahan serta
menyiapkan kerja kursus tepat pada waktunya. Pembacaan dan pemerhatian terhadap
aspek-aspek tersebut memudahkan saya dalam menyusun ayat dalam menulis esei. Segala
maklumat yang telah diperoleh saya muatkan dalam kerja kursus ini. Saya dapati
terdapat pelbagai jenis gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam
menghasilkan karya-karya seperti puisi, sajak, cerpen dan novel. Aspek-aspek
yang telah saya kaji bukan sahaja penting dalam lembar penulisan, malah sangat
sesuai untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Tambahan
pula sebagai seorang guru, saya perlu menguasai bahasa Melayu dengan sempurna
supaya maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima oleh murid-murid dengan
lancar. Saya sedar tentang pentingnya kesantunan bahasa kepada seseorang itu.
Setelah mengkaji tentang sistem sapaan yang mana ia adalah sebahagian daripada
cabang kesantunan bahasa dapat memberi peluang kepada saya untuk menggunakannya
ketika bertutur dengan murid-murid dan kejelasan kata-kata dan lenggok bahasa
yang saya gunakan akan memudahkan penerimaan ilmu oleh murid-murid. Bahasa yang
sopan dan lemah lembut dapat memeberi kesan terhadap perkembangan pembelajaran
seseorang itu. Ilmu yang ingin disampaikan akan mudah diterima jika penggunaan
serta penguasaan bahasa mantap.
Sebagai
kesimpulan, tugasan ini banyak mengajar saya dan sebagai seorang guru saya
perlu sentiasa peka dengan perubahan bahasa supaya dapat mencari solusi dalam
pembelajaran dan pengajaran di sekolah nanti.
BIBLIOGRAFI
Ab.
Rahman Ab. Rashid, Yap Kim Fatt & Ab. Rahman Selamat, (1997). Bahasa Melayu
Komunikasi 2 : Komunikasi Retorika. Selangor Darul Ehsan: LONGMAN MALAYSIA SDN.BHD.
A.Halim
Ali, (2011). Penggunaan
Tatabahasa dan Cara Menyampaikan Idea. tcipta.dbp.my/?p=316. Dilayari pada 9 FEBUARI 2011.
Kamus
Dewan Edisi Keempat, (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mawar
Safei, (2011,Jun). Perorangan dalam
Cerpen. Dewan siswa, pp. 63.
M.
Salehudin Aman, (2011, Mac). Kesalahan
Penggunaan Kata Ganti Diri. Dewan Siswa,
pp. 34-35.
Othman
Puteh, (1988).Cerpen Malaysia Selepas
Perang Dunia ke-2. Selangor Darul Ehsan:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pusat
Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), (2006). prpm.dbp.gov.my. Dilayari pada 9 FEBUARI 2011.
Serunai
Faqir, (2010). Tips Penulisan dan
Penghantaran Karya : 12. www.kapasitor.net/community/post/2864?s2h96.
Dilayari pada 12 FEBUARI 2011.
Siti
Hajar Abdul Aziz, (2009). Siri Pendidikan Guru: Bahasa Melayu II. Shah Alam :Oxford
Fajar Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment