LITERASI
BAHASA MELAYU
(WAJ3104)
PENGENALAN
Menurut Siti Hajar Abd. Aziz (1996), permainan bahasa
adalah cara mempelajari bahasa melalui permainan. Teknik ini sesuai digunakan
pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah rendah
hingga ke peringkat sekolah menengah. Ia juga merupakan salah satu teknik
pembelajaran dan pengajaran dalam pengajaran bahasa. Aktiviti permainan bahasa
dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di samping memberi
peluang kepada murid-murid untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas seperti
membaca dan menulis.
Permainan bahasa juga dijalankan di dalam
kelas di laksanakan selari dengan program Kelas Intervensi Asas membaca dan
menulis (KIA2M) dimana program ini di rancang khusus untuk membantu murid-murid
menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.
Konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas
kuikulum haruslah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi
penggabungjalinan. Subjek-subjek seperti pendidikan jasmani , seni dan muzik
dapat digabungkan serta membuat jalinan dengan kemahiran-kemahiran dalam Bahasa
Melayu.
Permainan bahasa melibatkan aktiviti
kemahiran seperti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Permainan bahasa
juga penting bagi memberi peluang kepada murid-murid bermain untuk perkembangan
fizikal. Selain itu, permainan bahasa penting untuk perkembangan sosial dan
emosi serta bermain untuk perkembangan kognitif.
Selain itu, permainan bahasa yang
diaplikasikan dalam pengajaran mempunyai beberapa objektif seperti merangsang
interaksi verbal murid dan menambah kefasihan dan keyakinan dalam berbahasa. Begitu
juga dengan menjadi suatu alat untuk mengelak rasa bosan dalam proses
pembelajaran dan pengajaran yang lama di sekolah. Permainan bahasa di samping
itu juga digunakan sebagai alat pemulihan atau pengukuhan melalui aktiviti yang
dilaksanakan. Maka permainan bahasa sangat membantu dalam mengatasi masalah
pembelajaran.
PERMAINAN BAHASA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
Dalam melaksanakan permainan bahasa seseorang
guru itu perlu membuat persedian rapi dari segi pemilihan bahan serta mengikut
sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Permainan bahasa yang ingin
dilaksanakan juga perlu ada objektif yang tertentu supaya dapat memberi manfaat
kepada murid-murid terutamanya dalam pengukuhan kemahiran bahasa.
Menurut Khairuddin Mohamad (2011), guru harus
merancang dan mengolah bahan permainan agar sesuai dengan tajuk dan objektif
pengajaran bahasa yang diajar. Guru juga perlu memastikan bahan pengajaran
lengkap dan mencukupi bagi murid-murid di dalam bilik darjah. Masa yang
diperuntukkan pelru diambil kira untuk melaksanakan permainan bahasa supaya
tidak mengambil masa terlalu lama kerana ini akan mengakibatkan murid-murid
berasa bosan dan proses pembelajaran tidak dapat berlaku dengan sempurna.
Selain itu, guru juga perlu memperuntukkan masa yang mencukupi kerana
murid-murid mungkin akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkan aktiviti.
Keadaan ini haruslah diberi perhatian kerana proses pembelajaran dan penyerapan
ilmu oleh murid-murid tidak sama.
Sebelum guru melaksanakan aktiviti pengajaran
bersama murid-murid, penerangan yang jelas mengenai permainan tersebut perlu
dilakukan termasuklah menerangkan nama aktiviti, dan cara bermain. Di sini
murid-murid dapat mengukuhkan kemahiran mendengar mereka. Setelah selesai
melaksanakan aktiviti bersama murid-murid, guru juga boleh melakukan
perbincangan bersama-sama murid mengenai pengajaran yang telah mereka perolehi.
Di
samping itu, dalam melaksanakan permainan bahasa, guru perlu mengambil perhatian
terhadap kategori yang boleh digunakan seperti permainan bahasa boleh dilakukan
secara berkumpulan, berpasangan dan individu. Permainan bahasa yang di cipta
oleh guru dimana memerlukan lebih dari seorang murid untuk menyiapkannya, jadi
guru boleh membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil. Menurut
Siti Hajar Abd. Aziz (1996), biasanya empat hingga enam orang pemain dalam
sebuah kumpulan sudah memadai. Bilangan pemain dalam suatu kumpulan adalah amat
penting bagi menentukan keberkesanan permainan bahasa tersebut. Sekiranya
kumpulan-kumpulan kecil yang telah dibahagikan itu terlalu banyak dan ruang
untuk melaksanakan aktiviti permainan bahasa akan menyebabkan keadaan menjadi kurang
selesa. Disini, guru boleh mengambil inisiatif lain dengan menjalankan
permainan bahasa di luar bilik darjah.
Seterusnya,
permainan bahasa juga boleh dilakukan secara berpasangan. Melalui cara ini,
murid-murid dapat berkerja secara efektif dimana murid-muird dapat lebih banyak
peluang untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung mempraktikkan kemahiran
mendengar dan bertutur. Guru juga mudah untuk mengawal murid-murid kerana
penglibatan yang kurang dan tidak memberi banyak masalah dalam akiviti
kumpulan. Dalam pada masa yang sama permainan bahasa juga dapat dilaksanakan
secara individu. Murid-murid dapat berfikir secara sendirian serta merujuk guru
untuk menyelesaikan masalah.
Permainan
bahasa bukan setakat aktiviti yang dijalankan di dalam kelas sahaja. Ia juga
dapat mempengaruhi penguasaan bahasa oleh murid-murid di dalam dan luar kelas.
Pembelajaran yang berlaku semasa permainan bahasa berlangsung secara tidak
langsung memberi peluang kepada murid-murid untuk mengukuhkan penguasaan
berbahasa terutamanya dalam bidang menulis dan membaca. Selain itu, bahan
rangsangan yang telah disediakan oleh guru di dalam kelas dapat membantu murid
untuk bertindak balas secara aktif bukan sahaja terhadap pembelajaran, malah
terhadap rakan serta guru justeru dapat mengekalkan minat untuk belajar dalam
diri mereka.
Tambahan
lagi permainan bahasa perlulah mampu merangsang penglibatan murid-murid untuk
bergerak secara aktif di dalam kelas. Ia juga haruslah mempunyai peraturan yang
jelas dan mudah difahami serta dapat
dijalankan dalam masa dan tempat yang sesuai supaya objektif pembelajaran dapat
dicapai. Dalam permainan bahasa ini, guru dapat mempelbagaikan kaedah atau
teknik pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, guru dapat melihat dan menilai kepelbagaian
sikap dan tingkah laku daripada murid yang terlibat.
Permainan bahasa ini adalah lebih
mudah untuk dipelajari dan lebih cepat untuk diterima oleh para murid kerana
aktiviti yang dilaksanakan adalah berpusatkan murid dan isi kandungan pelajaran
disampaikan dalam bentuk yang kreatif. Murid biasanya akan menjadi lebih
seronok apabila berhadapan dengan kaedah permainan yang mencabar. Secara tidak
langsung mereka akan menyedari kebolehan dan keupayaan mereka berbahasa dengan
menggunakan bahasa yang telah mereka pelajari. Pada waktu yang sama, guru
peranan sebagai pemberi maklumat bahasa.
Seterusnya,
semasa guru ingin melaksanakan permainan bahasa di dalam kelas, guru tersebut
perlulah terlebih dahulu mengetahui tahap pengetahuan murid-murid. Hal ini
penting kerana permainan bahasa yang akan dihasilkan sesuai dengan laras
murid-murid supaya tidak menjadi bosan. Sekiranya permainan bahasa yang
diajalankan mengandungi laras ilmu yang tinggi, bagi murid-murid yang yang
mempunyai tahap pemikiran yang kurang, mereka tidak akan dapat melakukan
permainan secara seronok dan proses pembelajaran tidak dapat berjalan lancar.
Permainan bahasa perlu berupaya menjadi satu teknik pemulihan untuk membantu
mereka memahami proses pembelajaran dan bukannya membantutkan pembelajaran
mereka.
Tambahan
lagi, sekiranya permainan bahasa yang menggunakan gambar-gambar, ia perlulah
terang dan mudah difahami. Begitu juga dengan kad perkataan yang dicetak
perlulah jelas dan mudah dibaca. Keadaan ini penting bagi murid-murid yang baru
boleh membaca dan penggunaan perkataan yang jelas dapat memudahkan lagi
kemahiran membaca dapat dikuasai. Selain itu, sekiranya permainan bahasa
melibatkan kemahiran penulisan, contoh yang jelas perlu ditunjukkan supaya
murid-murid dapat menulis di samping melihat kepada contoh-contoh yang
diberikan. Guru juga perlu ingat bahawa penggunaan alat bantu mengajar dalam
melaksanakan permainan bahasa perlulah memenuhi fungsi dan mencapai matlamat
yang telah di rangka.
Aktiviti
permainan bahasa yang ingin dijalankan bukan sahaja dapat menjadi suatu wahana
bagi murid-murid untuk memperkukuh kemahiran bahasa mereka, malah ia menjadi
suatu wadah untuk melibatkan murid-murid secara aktif sama ada dalam kumpulan
atau kelas. Selaras dengan itu dapan mencabar dan menggalakkan murid untuk
berfikir secara rasional dan kritis dalam mencari jawapan atau melengkapkan
aktiviti yang diajalankan.
IMPLIKASI PERMAINAN BAHASA TERHADAP MURID-MURID
Permainan bahasa dapat memberi pelbagai
manfaat kepada murid-murid. Bagi permainan bahasa yang telah di bina,
murid-murid khususnya bagi murid yang bermasalah dalam kemahiran literasi
mereka dapat mengukuhkan kemahiran berbahasa seperti membaca dan menulis.
Permainan bahasa ini hanya menggunakan bahan bantu mengajar iaitu kad bergambar
dan perkataan dan lembaran kerja teka silang kata tanpa menggunakan buku teks.
Jadi, murid-murid lebih berasa seronok serta bersedia untuk memulakan
pembelajaran melalui permainan.
Penggunaan kad bergambar serta perkataan
dapat menarik perhatian murid untuk memberikan konsentrasi terhadap
pembelajaran. Teka silangkata yang menarik juga dapat memberi peluang kepada
murid untuk melatih diri membaca dan mengeja di samping menulis perkataan KV+KV
dan KV+KVK. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja dapat mengukuhkan kemahiran
bahasa murid-murid malah dapat membiasakan diri menyebut sesuatu bunyi
perkataan dengan jelas dan betul dan tepat. Bagi murid-murid yang menghadapi
masalah literasi mereka boleh berlatih untuk mengucapkan ayat dengan sebutan,
intonasi, tekanan, jeda dan gaya yang betul di samping melatih diri untuk
menulis suku kata perkataan dengan betul.
Dengan adanya permainan bahasa yang
sesuai dengan pembelajaran, murid-murid akan lebih bermotivasi untuk mengikuti
topik yang diajar. Murid-murid yang berjaya melengkapkan aktiviti permainan
bahasa dengan sempurna akan berasa lebih bermotivasi untuk melakukannya lagi di
samping mengukuhkan kemahiran bahasa mereka. Secara tidak langsung murid juga
akan belajar disamping bermain dengan permainan yang menyeronokkan serta menggalakkan
murid berfikir secara kritis dan kreatif.
Seterusnya,
mruid-murid akan mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi untuk mencuba
sesuatu yang baru. Dengan kaedah serta kepelbagaian aktiviti permainan bahasa
yang diperkenalkan oleh guru di dalam kelas memberi semangat kepada murid untuk
mencuba dengan mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Keyakinan yang terbina
dalam diri murid-murid merupakan suatu penanda aras yang baik untuk mereka
dalam menimba lebih banyak ilmu dengan mengukuhkan lagi kemahiran bahasa
terutamanya dalam kemahiran membaca dan menulis.
Permainan
bahasa juga memberi kesan secara menyeluruh kepada murid-murid dalam empat
kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendenga, bertutur, membaca, dan menulis.
Kemahiran tersebut dapat diperoleh dalam masa yang singkat. Aktiviti yang
dijalankan secara berkumpulan dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk
melatih diri bertutur secara berkesan serta mendengar arahan yang diberi oleh
guru. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar dalam permainan bahasa yang
jelas dapat memberi peluang kepada murid untuk membaca dengan mudah dan
berkesan. Begitu juga aktiviti mengisi tempat kosong atau sebagainya dapat
melatih murid untuk menulis dengan mudah. Justeru, melalui aktiviti permainan
bahasa, kemahiran bahasa akan mudah diperoleh secara menyeluruh dalam masa yang
singkat.
Aktiviti
permainan bahasa yang dilakukan secara berkumpulan dapat memupuk nilai-nilai
murni dan sikap-sikap yang positif seperti bekerjasama, berdisiplin dan
mewujudkan jiwa kepimpinan dalam kalangan murid-murid. Tambahan juga, menggalakkan
komunikasi yang baik dan berkesan. Dengan ini, guru perlulah menyediakan
aktiviti permainan yang dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk bergerak
secara aktif dan bekerjasama dalam menyelesaikan permainan tersebut. Dengan
penglibatan secara aktif dan menyeronokkan pelajar dapat membina sikap yang
positif. Ia juga dapat menarik minat murid agar sentiasa gembira semasa belajar
dan tidak bersikap pasif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Walaubagaimanapun,
permainan bahasa yang mengambil masa yang panjang akan menyukarkan guru untuk
melaksanakannya dan murid-murid akan cepat merasa bosan. Sekiranya masa yang
diambil untuk melaksanakan aktiviti permainan bahasa terlalu lama, objektif
permainan tidak dapat dicapai dan ini akan mengakibatkan pelajar tidak dapat
meningkatkan minat untuk belajar. Selain itu, murid tidak dapat memahami konsep
yang cuba disampaikan dari permainan tersebut kerana masa untuk mereka memahami
terlalu lama sehingga objektif tidak mencapai sasaran sepenuhnya.
Aktiviti
permainan bahasa secara berkumpulan akan menyebabkan guru tidak dapat mengawal
kelas. Pembahagian kumpulan yang tidak teratur juga akan menyebabkan murid
membuat bising dan mengganggu proses pembelajaran dibilik darjah. Keadaan yang
tidak terkawal dan bising dapat menyebabkan murid-murid tidak fokus dan
objektif dalam mengukuhkan kemahiran bahasa mereka tidak dapat dicapai.
RUMUSAN
Secara tuntasnya, permainan bahasa merupakan
satu teknik atau kaedah pengajaran yang baik dan berkesan terhadap proses pembelajaran
bahasa Melayu. Dengan menggunakan permainan bahasa dapat menambahkan minat
murid-murid belajar bahasa Melayu dengan mudah. Kepelbagaian permainan bahasa
yang dilaksanakan dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu dapat memberi
peluang kepada murid-murid untuk membentuk dan mengukuhkan kemahiran bahasa
terutamanya kemahiran membaca dan menulis. Proses pembelajaran juga akan Nampak
lebih menarik dan menyeronokkan. Dengan kaedah yang digunakan ini akan dapat
memberi motivasi kepada murid-murid yang lemah untuk memudahkan mereka
mengingati tajuk yang telah diajar oleh guru. Permainan bahasa di samping itu
juga digunakan sebagai alat pemulihan atau pengukuhan melalui aktiviti yang
dilaksanakan. Maka permainan bahasa sangat membantu dalam mengatasi masalah
pembelajaran.
BIBLIOGRAFI
BERNAMA, (2009). Oktober diisytihar bulan bahasa. http://www.malaysiakini.com/news/114319.
Dilayari pada 5 OGOS 2012.
Kamus
Dewan Edisi Keempat, (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khairuddin Moahamad, (2011). Siri
Pendidikan Guru: Literasi Bahasa Melayu.
Shah
Alam. Oxford Fajar Sdn Bhd.
Siti Hajar Abd. Aziz, (1996). Permainan Bahasa Untuk Sekolah rendah dan
menengah.
Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Mohd Isa Abd Razak, (2010).
Aktiviti Pengajaran dan
Pembelajaran Contoh KIA2M
http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/2009/09/aktiviti-pengajaran-dan-pembelajaran.html.
Dilayari pada 30 Ogos 2012.
http://www.scribd.com/doc/4853628/KIA2M
Dilayari pada 30 Ogos 2012
http://www.scribd.com/doc/2064597/Corak-dan-gaya-pembelajarankajian-tindakan
Dilayari pada 30 Ogos 2012
http://jeramteguh.blogspot.com/2009/11/program-peningkatan.html
Dilayari pada 31 Ogos 2012
http://klikduniaku.com/bahasa-melayu/konsep-kia2m.htm
Dilayari pada 1 September 2012
http://azizulamri.blogspot.com/2009/02/kia-2m.html
Dilayari pada 1 September 2012
No comments:
Post a Comment