Sunday 3 April 2016

Laporan Bina Insan Guru

1.0 PENGENALAN
Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dalam usaha melahirkan insan guru yang berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran serta mempunyai spiritual dan sahsiah yang tinggi. Bagi menjayakan Program BIG yang dirancang oleh BPG ini, guru-guru Malaysia bukan sahaja perlu mempunyai menguasai kekuatan ilmu dari pelbagai bidang tetapi perlu juga mengaplikasikan segala yang dipelajari melalui praktikalnya. Penghayatan yang begitu mendalam terhadap pelbagai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam proram BIG ini akan mengukuhkan keperibadian dan sahsiah yang terpuji serta etika keguruan dalam diri setiap bakal-bakal guru iaitu selaras dengan hasrat negara.
Pelaksanaan BIG adalah berasaskan kepada kesedaran bahawa profesion keguruan adalah mulia dan insan guru adalah pembina generasi, pembentuk jati diri dan role model kepada masyarakat, justeru guru harus mampu menyesuaikan diri dalam semua keadaan dan mampu menangani cabaran era globalisasi. Melalui  aktiviti yang dirancang, pelajar dapat  mengenal diri (real-self) dan mampu mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh ke arah pembangunan diri sebagai insan guru secara berterusan.


2.0 MATLAMAT
            Membentuk generasi pemimpin yang mempunyai pengetahuan dan berkemahiran dalam mengendalikan kegiatan kokurikulum di samping menerapkan nilai-nilai cintakan negara, harmoni, mampu berdikari dan megharungi kehidupan masa depan yang penuh cabaran dari segi sosial dan budaya disamping menanamkan disiplin yang tinggi di dalam diri pelatih malalui aktiviti bina insan guru.



3.0 OBJEKTIF
  • Melengkapkan sukatan GERKO.
  • Memberi peluang kepada pelatih guru untuk mendalami ilmu kepimpinan melalui tunjuk cara, amali, dan aktiviti-aktiviti tertentu.
  • Melatih pelatih guru dalam cara menguruskan pelajar secara tidak langsung mencungkil dan mengembangkan bakat dalam bidang kepimpinan yang ada dalam diri pelatih guru.
  • Memberi peluang kepada pelatih guru untuk mendapatkan pengalaman sebenar dalam merancang program BIG serta menjalankan aktiviti luar.
· Membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
·    Mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan jasmani, emosi, rohani (spiritual) dan sosial.
· Memupuk semangat berpasukan, bekerjasama dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas secara berkumpulan.
·   Berupaya berfikir secara reflektif dan kritikal ke atas pengalaman, kekuatan dan kelemahan diri serta mengambil tindakan penambahbaikan secara berterusan.


4.0 LAPORAN SEBELUM BIG
            Pada semester pertama Program Ijazah Sarjana Perguruan, kami telah diwajibkan mengikuti program BIG iaitu program perkhemahan yang berlangsung selama 4 hari 3 malam. Sebelum itu, seluruh ahli pelatih guru unit K telah beberapa kali mengadakan mesyuarat untuk menentukan organisasi untuk menguruskan aktiviti di dalam program BIG ini. Sebelum program perkhemahan itu berlangsung, pelbagai persiapan telah dilakukan termasuklah buku program, alatan-alatan perkhemahan serta barang-barang memasak. Begitu juga dengan kertas kerja, anggaran kewangandan lain-lain yang dirasakan perlu.
Setelah beberapa kali perbincangan dibuat antara ahli serta dengan bimbingan pensyarah kami telah bersetuju untuk menjalankan program perkhemahan di Pangkor Village Beach Resort, Pulau Pangkor. Kelas kami juga telah bergabung dengan beberapa kelas lain bagi menjalankan program ini bersama. Oleh kerana program BIG ini bergabung dengan beberapa kelas lain, maka AJK induktelah bersetuju untuk membahagikan tugas-tugas mengikut kelas bagi meringkankan kerja-kerja penyelengaraan sewaktu berada di sana.

5.0 LAPORAN SEMASA BIG
            5.1 Hari pertama (Isnin, 23 April 2012)
Pada hari pertama, kami berkumpul di garaj bas pada pukul 7 pagi dan bersiap untuk ke Pulau Pangkor. Setelah semua pelatih tiba, pengerusi memberikan sedikit taklimat mengenai perjalanan serta mengingatkan AJK peralatan berhubung peralatan yang perlu dibawa ke tempat perkhemahan. Disebabkan bilangan peserta BIG kali ini ramai, kami telah menyewa 3 bas ke sana.
Kami tiba di jeti pada pukul 11 pagi dan disana kami sekali lagi diberi taklimat supaya semua pelatih bekerjasama untuk membawa barang-barang ketika menaiki bot. Setibanya kami di resort tersebut, pensyarah pembimbing telah memberikan taklimat ringkas mengenai penyediaan tapak dan seterusnya kami di minta untuk mendirikan khemah.
Setelah itu, pada pukul 5 petang, kawad kaki telah diadakan untuk melatih kami menjadi lebih berdisiplin. Kami telah diajarkan beberapa langkah asas kawad dengan berkesan. Beberapa demonstrasi dilakukan oleh para pelatih menjadikan kami lebih faham. Setelah itu, kami diberi masa untuk bersiap untuk aktiviti seterusnya. Aktiviti terakhir pada hari pertama ialah latihan dalam kumpulan dimana kami diberi peluang untuk berbincang mengenai topic yang telah diberi. Selain itu, LDK tersebut telah di bombing oleh seorang pensyarah dan bebarapa tutor setiap kelas.
           
5.2 Hari kedua (Selasa, 24 April 2012)
Pada hari kedua, seperti telah dijadualkan untuk kami bermula dengan Solat dan tazkirah subuh kami beralih kepada aktiviti Malaysia Cergas serta nyanyian lagu patriotik dan Negaraku. Aktiviti ini telah diketuai oleh ketua kem serta seorang fasilitator. Pada hari tersebut, kami telah diberitahu oleh pensyarah pembimbing, bahawa aktiviti kembara telah ditukar dengan aktiviti air. Semua pelatih guru telah dibawa turun kepantai untuk belajar cara berenang dengan selamat serta cara pemakaian jaket keselamatan dengan betul. Bermula dengan latihan berenang, kami seterusnya dibawa jauh dari pantai dan kami dilepaskan seorang demi seorang untuk berenang semula ke pantai.
Setelah aktiviti air dijalankan, kami diberi masa untuk mengurus diri dan solat serta makan tengahari. Stelah itu, pada pukul 2 petang,aktiviti pembinaan jati diri bermula dan semua pelatih guru ditempatkan didalam dewan. Latihan dalam kumpulan diteruskan lagi pada malam tersebut dengan bimbingan pensyarah serta tutor kelas masing-masing.

            5.3 Hari ketiga (Rabu, 25 April 2012)
Pada hari ketiga seperti biasa kami menunaikan solat serta tazkirah pagi kami beralih kepada senaman pagi. Kemudian kami diberi taklimat ringkas mengenai aktiviti kembara oleh pensyarah pembimbing. Setiap unit diberi sebuah beg yang mengandungi pelbagai alatan yang akan kami gunakan ketika memasuki hutan dan beberapa alatan memasak. Seterusnya kami bergerak menyusuri jalan dan kemudian mendaki bukit untuk menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Setelah selesai dengan aktiviti kembara, kami beralih pula dengan pembinaan jati diri berkumpulan didalam dewan. Pada petang tersebut, kami diberi masa untuk berehat dan membuat persediaan untuk persembahan malam itu. Kami telah mewujudkan satu AJK yang bertanggungjawab untuk menyediakan pentas malam kebudayaan. Pada malam tersebut, kami telah dihidangkan dengan makanan bakar yang telah disediakan oleh AJK makanan. Setiap kumpulan membuat persembahan masing-masing mengikut tema yang telah diberi.

            5.4 Hari keempat (Khamis, 26 April 2012)
Pada hari keempat iaitu hari terakhir kami berada di sana, kami diberi masa untuk mengemas barang-barang serta alatan untuk dibawa pulang. Pada pagi tersebut, majlis perasmian dan penutup telah berjalan dengan lancar. Setiap kumpulan menerima hadiah berupa hamper. Setelah semua selesai, kami pun berangkat pulang. Kami menaiki bot dan pulang ke IPG dengan menaiki bas.




6.0 LAPORAN SELEPAS BIG
            Selepas program perkhemahan ini berakhir, saya dapati bahawa aktiviti yang telah dijalankan amat memberi kesan terhadap perkembangan diri pelatih guru. Suasana perkhemahan sedikit sebanyak memberi pengalaman pertama kepada pelatih guru untuk menyesuaikan diri dengan alam persekolah sekiranya di hantar ke sekolah pendalaman. Sesi refleksi yang telah dijalankan oleh tutor dan pensyarah pembimbing dapat memberi peluang untuk memberi maklum balas serta berkongsi pengalaman. Setiap daripada pelatih guru kebanykannya berharap aktiviti seperti ini tetap akan terus dijalankan pada masa akan datang.
            Penyelaras program juga amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak terutamanya pelatih guru serta tutor dalam melaksanakan program ini dengan jayanya. Katanya lagi jika tiada sokongan daripada kami semua maka program perkhemahan ini tidak dapat berjalan lancar seperti dirancangkan.


7.0 REFLEKSI KENDIRI
Bersyukur kepada Allah s.wt yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu kerana dengan izin-Nya saya telah berjaya menamatkan salah satu komponen wajib yang mesti dilalui semasa kursus perguruan ini iaitu menjalani program Bina Insan Guru (BIG) pada 23-26 April 2012, Unit K13 Bahasa Inggeris ambilan Januari 2012 telah mengadakan program perkhemahan selama 4 hari 3 malam di Pangkor Village Resort, Pulau Pangkor.
            Program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan usaha setiap pelatih guru serta kerjasama yang diberikan oleh setiap unit. Ketika menjalankan program tersebut saya dapat merasakan sikap bekerjasama amatlah penting dalam menjalankan aktiviti luar agar dapat menyelesaikan masalah dengan mudah dan berkesan. Saya juga telah berlajar untuk memberi pertolongan ketika rakan-rakan kelas memerlukan bantuan, terutamanya ketika menjalankan aktiviti memasak didalam hutan.
            Sesungguhnya program BIG ini telah meninggalkan kesan yang agak mendalam terhadap diri saya. Sebabnya ialah saya dapat belajar cara untuk berenang dengan baik dan melaksanakan aktiviti air dengan efektif. Selain itu saya juga dapat merasai kepuasan dari segi usaha gotong-royong yang mendatangkan faedah apabila giliran kami untuk menyediakan makanan.
            Selain itu, saya juga dapat melatih diri untuk bercakap didepan khalayak apabila terpilih untuk memberikan tazkirah subuh kepada rakan-rakan. Perkongsian ilmu secara ilmiah dapat memeberi kesan kepada saya dalam menambahbaik cara penyampaian maklumat. Begitu juga dengan peluang untuk menyuarakan pendapat serta pandangan terhadap sesuatu dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.
            Kesimpulan yang boleh dibuat ialah aktiviti perkhemahan amat penting dalam mendidik pelatih guru dalam pelbagai aspek dan bukan sahaja menjadi cergas dan cerdas. Nilai-nilai murni dapat dibentuk selama aktiviti ini berlangsung. Pengalaman yang telah ditimba ini sekurang-kurangnya memberi kesan terhadap masa depan saya sebagai seorang guru. Selain itu, program BIG juga dapat memberi peluang kepada setiap pelatih guru untuk membaiki kelemahan dan mengasah bakat terutamanya dalam kepimpinan.

           


                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

No comments:

Post a Comment