Sunday 3 April 2016

LITERASI BAHASA MELAYU (WAJ3104)


LITERASI BAHASA MELAYU

(WAJ3104)

PENGENALAN

Menurut Siti Hajar Abd. Aziz (1996), permainan bahasa adalah cara mempelajari bahasa melalui permainan. Teknik ini sesuai digunakan pada semua peringkat pembelajaran bahasa, iaitu daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat sekolah menengah. Ia juga merupakan salah satu teknik pembelajaran dan pengajaran dalam pengajaran bahasa. Aktiviti permainan bahasa dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di samping memberi peluang kepada murid-murid untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas seperti membaca dan menulis.
Permainan bahasa juga dijalankan di dalam kelas di laksanakan selari dengan program Kelas Intervensi Asas membaca dan menulis (KIA2M) dimana program ini di rancang khusus untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran asas iaitu membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.
Konsep pengajaran Bahasa Melayu merentas kuikulum haruslah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan strategi penggabungjalinan. Subjek-subjek seperti pendidikan jasmani , seni dan muzik dapat digabungkan serta membuat jalinan dengan kemahiran-kemahiran dalam Bahasa Melayu.
Permainan bahasa melibatkan aktiviti kemahiran seperti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Permainan bahasa juga penting bagi memberi peluang kepada murid-murid bermain untuk perkembangan fizikal. Selain itu, permainan bahasa penting untuk perkembangan sosial dan emosi serta bermain untuk perkembangan kognitif.
Selain itu, permainan bahasa yang diaplikasikan dalam pengajaran mempunyai beberapa objektif seperti merangsang interaksi verbal murid dan menambah kefasihan dan keyakinan dalam berbahasa. Begitu juga dengan menjadi suatu alat untuk mengelak rasa bosan dalam proses pembelajaran dan pengajaran yang lama di sekolah. Permainan bahasa di samping itu juga digunakan sebagai alat pemulihan atau pengukuhan melalui aktiviti yang dilaksanakan. Maka permainan bahasa sangat membantu dalam mengatasi masalah pembelajaran.

  PERMAINAN BAHASA DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Dalam melaksanakan permainan bahasa seseorang guru itu perlu membuat persedian rapi dari segi pemilihan bahan serta mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Permainan bahasa yang ingin dilaksanakan juga perlu ada objektif yang tertentu supaya dapat memberi manfaat kepada murid-murid terutamanya dalam pengukuhan kemahiran bahasa.
Menurut Khairuddin Mohamad (2011), guru harus merancang dan mengolah bahan permainan agar sesuai dengan tajuk dan objektif pengajaran bahasa yang diajar. Guru juga perlu memastikan bahan pengajaran lengkap dan mencukupi bagi murid-murid di dalam bilik darjah. Masa yang diperuntukkan pelru diambil kira untuk melaksanakan permainan bahasa supaya tidak mengambil masa terlalu lama kerana ini akan mengakibatkan murid-murid berasa bosan dan proses pembelajaran tidak dapat berlaku dengan sempurna. Selain itu, guru juga perlu memperuntukkan masa yang mencukupi kerana murid-murid mungkin akan mengambil masa yang lama untuk menyiapkan aktiviti. Keadaan ini haruslah diberi perhatian kerana proses pembelajaran dan penyerapan ilmu oleh murid-murid tidak sama.
Sebelum guru melaksanakan aktiviti pengajaran bersama murid-murid, penerangan yang jelas mengenai permainan tersebut perlu dilakukan termasuklah menerangkan nama aktiviti, dan cara bermain. Di sini murid-murid dapat mengukuhkan kemahiran mendengar mereka. Setelah selesai melaksanakan aktiviti bersama murid-murid, guru juga boleh melakukan perbincangan bersama-sama murid mengenai pengajaran yang telah mereka perolehi.
            Di samping itu, dalam melaksanakan permainan bahasa, guru perlu mengambil perhatian terhadap kategori yang boleh digunakan seperti permainan bahasa boleh dilakukan secara berkumpulan, berpasangan dan individu. Permainan bahasa yang di cipta oleh guru dimana memerlukan lebih dari seorang murid untuk menyiapkannya, jadi guru boleh membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan kecil. Menurut Siti Hajar Abd. Aziz (1996), biasanya empat hingga enam orang pemain dalam sebuah kumpulan sudah memadai. Bilangan pemain dalam suatu kumpulan adalah amat penting bagi menentukan keberkesanan permainan bahasa tersebut. Sekiranya kumpulan-kumpulan kecil yang telah dibahagikan itu terlalu banyak dan ruang untuk melaksanakan aktiviti permainan bahasa akan menyebabkan keadaan menjadi kurang selesa. Disini, guru boleh mengambil inisiatif lain dengan menjalankan permainan bahasa di luar bilik darjah.
            Seterusnya, permainan bahasa juga boleh dilakukan secara berpasangan. Melalui cara ini, murid-murid dapat berkerja secara efektif dimana murid-muird dapat lebih banyak peluang untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung mempraktikkan kemahiran mendengar dan bertutur. Guru juga mudah untuk mengawal murid-murid kerana penglibatan yang kurang dan tidak memberi banyak masalah dalam akiviti kumpulan. Dalam pada masa yang sama permainan bahasa juga dapat dilaksanakan secara individu. Murid-murid dapat berfikir secara sendirian serta merujuk guru untuk menyelesaikan masalah.
            Permainan bahasa bukan setakat aktiviti yang dijalankan di dalam kelas sahaja. Ia juga dapat mempengaruhi penguasaan bahasa oleh murid-murid di dalam dan luar kelas. Pembelajaran yang berlaku semasa permainan bahasa berlangsung secara tidak langsung memberi peluang kepada murid-murid untuk mengukuhkan penguasaan berbahasa terutamanya dalam bidang menulis dan membaca. Selain itu, bahan rangsangan yang telah disediakan oleh guru di dalam kelas dapat membantu murid untuk bertindak balas secara aktif bukan sahaja terhadap pembelajaran, malah terhadap rakan serta guru justeru dapat mengekalkan minat untuk belajar dalam diri mereka.
            Tambahan lagi permainan bahasa perlulah mampu merangsang penglibatan murid-murid untuk bergerak secara aktif di dalam kelas. Ia juga haruslah mempunyai peraturan yang jelas dan mudah difahami serta  dapat dijalankan dalam masa dan tempat yang sesuai supaya objektif pembelajaran dapat dicapai. Dalam permainan bahasa ini, guru dapat mempelbagaikan kaedah atau teknik pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, guru dapat melihat dan menilai kepelbagaian sikap dan tingkah laku daripada murid yang terlibat.
            Permainan bahasa ini adalah lebih mudah untuk dipelajari dan lebih cepat untuk diterima oleh para murid kerana aktiviti yang dilaksanakan adalah berpusatkan murid dan isi kandungan pelajaran disampaikan dalam bentuk yang kreatif. Murid biasanya akan menjadi lebih seronok apabila berhadapan dengan kaedah permainan yang mencabar. Secara tidak langsung mereka akan menyedari kebolehan dan keupayaan mereka berbahasa dengan menggunakan bahasa yang telah mereka pelajari. Pada waktu yang sama, guru peranan sebagai pemberi maklumat bahasa.
            Seterusnya, semasa guru ingin melaksanakan permainan bahasa di dalam kelas, guru tersebut perlulah terlebih dahulu mengetahui tahap pengetahuan murid-murid. Hal ini penting kerana permainan bahasa yang akan dihasilkan sesuai dengan laras murid-murid supaya tidak menjadi bosan. Sekiranya permainan bahasa yang diajalankan mengandungi laras ilmu yang tinggi, bagi murid-murid yang yang mempunyai tahap pemikiran yang kurang, mereka tidak akan dapat melakukan permainan secara seronok dan proses pembelajaran tidak dapat berjalan lancar. Permainan bahasa perlu berupaya menjadi satu teknik pemulihan untuk membantu mereka memahami proses pembelajaran dan bukannya membantutkan pembelajaran mereka.
            Tambahan lagi, sekiranya permainan bahasa yang menggunakan gambar-gambar, ia perlulah terang dan mudah difahami. Begitu juga dengan kad perkataan yang dicetak perlulah jelas dan mudah dibaca. Keadaan ini penting bagi murid-murid yang baru boleh membaca dan penggunaan perkataan yang jelas dapat memudahkan lagi kemahiran membaca dapat dikuasai. Selain itu, sekiranya permainan bahasa melibatkan kemahiran penulisan, contoh yang jelas perlu ditunjukkan supaya murid-murid dapat menulis di samping melihat kepada contoh-contoh yang diberikan. Guru juga perlu ingat bahawa penggunaan alat bantu mengajar dalam melaksanakan permainan bahasa perlulah memenuhi fungsi dan mencapai matlamat yang telah di rangka.
            Aktiviti permainan bahasa yang ingin dijalankan bukan sahaja dapat menjadi suatu wahana bagi murid-murid untuk memperkukuh kemahiran bahasa mereka, malah ia menjadi suatu wadah untuk melibatkan murid-murid secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas. Selaras dengan itu dapan mencabar dan menggalakkan murid untuk berfikir secara rasional dan kritis dalam mencari jawapan atau melengkapkan aktiviti yang diajalankan.

  IMPLIKASI PERMAINAN BAHASA TERHADAP MURID-MURID

Permainan bahasa dapat memberi pelbagai manfaat kepada murid-murid. Bagi permainan bahasa yang telah di bina, murid-murid khususnya bagi murid yang bermasalah dalam kemahiran literasi mereka dapat mengukuhkan kemahiran berbahasa seperti membaca dan menulis. Permainan bahasa ini hanya menggunakan bahan bantu mengajar iaitu kad bergambar dan perkataan dan lembaran kerja teka silang kata tanpa menggunakan buku teks. Jadi, murid-murid lebih berasa seronok serta bersedia untuk memulakan pembelajaran melalui permainan.
Penggunaan kad bergambar serta perkataan dapat menarik perhatian murid untuk memberikan konsentrasi terhadap pembelajaran. Teka silangkata yang menarik juga dapat memberi peluang kepada murid untuk melatih diri membaca dan mengeja di samping menulis perkataan KV+KV dan KV+KVK. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja dapat mengukuhkan kemahiran bahasa murid-murid malah dapat membiasakan diri menyebut sesuatu bunyi perkataan dengan jelas dan betul dan tepat. Bagi murid-murid yang menghadapi masalah literasi mereka boleh berlatih untuk mengucapkan ayat dengan sebutan, intonasi, tekanan, jeda dan gaya yang betul di samping melatih diri untuk menulis suku kata perkataan dengan betul.
            Dengan adanya permainan bahasa yang sesuai dengan pembelajaran, murid-murid akan lebih bermotivasi untuk mengikuti topik yang diajar. Murid-murid yang berjaya melengkapkan aktiviti permainan bahasa dengan sempurna akan berasa lebih bermotivasi untuk melakukannya lagi di samping mengukuhkan kemahiran bahasa mereka. Secara tidak langsung murid juga akan belajar disamping bermain dengan permainan yang menyeronokkan serta menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif.
            Seterusnya, mruid-murid akan mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru. Dengan kaedah serta kepelbagaian aktiviti permainan bahasa yang diperkenalkan oleh guru di dalam kelas memberi semangat kepada murid untuk mencuba dengan mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Keyakinan yang terbina dalam diri murid-murid merupakan suatu penanda aras yang baik untuk mereka dalam menimba lebih banyak ilmu dengan mengukuhkan lagi kemahiran bahasa terutamanya dalam kemahiran membaca dan menulis.
            Permainan bahasa juga memberi kesan secara menyeluruh kepada murid-murid dalam empat kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendenga, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran tersebut dapat diperoleh dalam masa yang singkat. Aktiviti yang dijalankan secara berkumpulan dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk melatih diri bertutur secara berkesan serta mendengar arahan yang diberi oleh guru. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar dalam permainan bahasa yang jelas dapat memberi peluang kepada murid untuk membaca dengan mudah dan berkesan. Begitu juga aktiviti mengisi tempat kosong atau sebagainya dapat melatih murid untuk menulis dengan mudah. Justeru, melalui aktiviti permainan bahasa, kemahiran bahasa akan mudah diperoleh secara menyeluruh dalam masa yang singkat.
            Aktiviti permainan bahasa yang dilakukan secara berkumpulan dapat memupuk nilai-nilai murni dan sikap-sikap yang positif seperti bekerjasama, berdisiplin dan mewujudkan jiwa kepimpinan dalam kalangan murid-murid. Tambahan juga, menggalakkan komunikasi yang baik dan berkesan. Dengan ini, guru perlulah menyediakan aktiviti permainan yang dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk bergerak secara aktif dan bekerjasama dalam menyelesaikan permainan tersebut. Dengan penglibatan secara aktif dan menyeronokkan pelajar dapat membina sikap yang positif. Ia juga dapat menarik minat murid agar sentiasa gembira semasa belajar dan tidak bersikap pasif semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
            Walaubagaimanapun, permainan bahasa yang mengambil masa yang panjang akan menyukarkan guru untuk melaksanakannya dan murid-murid akan cepat merasa bosan. Sekiranya masa yang diambil untuk melaksanakan aktiviti permainan bahasa terlalu lama, objektif permainan tidak dapat dicapai dan ini akan mengakibatkan pelajar tidak dapat meningkatkan minat untuk belajar. Selain itu, murid tidak dapat memahami konsep yang cuba disampaikan dari permainan tersebut kerana masa untuk mereka memahami terlalu lama sehingga objektif tidak mencapai sasaran sepenuhnya.
            Aktiviti permainan bahasa secara berkumpulan akan menyebabkan guru tidak dapat mengawal kelas. Pembahagian kumpulan yang tidak teratur juga akan menyebabkan murid membuat bising dan mengganggu proses pembelajaran dibilik darjah. Keadaan yang tidak terkawal dan bising dapat menyebabkan murid-murid tidak fokus dan objektif dalam mengukuhkan kemahiran bahasa mereka tidak dapat dicapai.

RUMUSAN  

Secara tuntasnya, permainan bahasa merupakan satu teknik atau kaedah pengajaran yang baik dan berkesan terhadap proses pembelajaran bahasa Melayu. Dengan menggunakan permainan bahasa dapat menambahkan minat murid-murid belajar bahasa Melayu dengan mudah. Kepelbagaian permainan bahasa yang dilaksanakan dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk membentuk dan mengukuhkan kemahiran bahasa terutamanya kemahiran membaca dan menulis. Proses pembelajaran juga akan Nampak lebih menarik dan menyeronokkan. Dengan kaedah yang digunakan ini akan dapat memberi motivasi kepada murid-murid yang lemah untuk memudahkan mereka mengingati tajuk yang telah diajar oleh guru. Permainan bahasa di samping itu juga digunakan sebagai alat pemulihan atau pengukuhan melalui aktiviti yang dilaksanakan. Maka permainan bahasa sangat membantu dalam mengatasi masalah pembelajaran.





BIBLIOGRAFI

BERNAMA, (2009). Oktober diisytihar bulan bahasa.   http://www.malaysiakini.com/news/114319. Dilayari pada 5 OGOS 2012.

Kamus Dewan Edisi Keempat, (2010). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khairuddin Moahamad, (2011). Siri Pendidikan Guru: Literasi Bahasa Melayu. Shah
Alam. Oxford Fajar Sdn Bhd.

Siti Hajar Abd. Aziz, (1996). Permainan Bahasa Untuk Sekolah rendah dan
menengah. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Mohd Isa Abd Razak, (2010). Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran Contoh KIA2M

http://www.scribd.com/doc/4853628/KIA2M Dilayari pada 30 Ogos 2012







No comments:

Post a Comment